Monday, September 7, 2009

Ganjaran Berpuasa di Bulan Ramadan

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,



كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Bermaksud :

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.’” (HR. Muslim no. 1151)



Bulan Ramadhan adalah bulan di mana amal ibadah dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT. Pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja kerana Ramadah ialah bulan limpahan ganjaran pahala yang penuh dengan kebaikan. Inilah bulan dimana AllahSWT menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Ramadhan awalnya adalah rahmat, pertengahan adalah keampunan dan penghujungnya adalah pelepasan dari azab api neraka.

Diriwayat dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Diberkan kepada umatKu lima kelebihan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu iaitu mulut orang yang berpuasa lebih harum baunya disisi Allah daripada bau kasturi. Para malaikat memohon keampunan untuk mereka sehingga mereka berbuka puasa.Setiap hari pula Allah sentiasa menghiasi syurga dan berfirman:. “Sedikit masa lagi hamba-hambaKu yang soleh akan terlepas dari mereka beban yang kesakitan dan mereka akan menuju ke dalammu (syurga). Para syaitan pula digari akan mereka dan mereka tidak mampu melakukan apa yang boleh mereka lakukan pada waktu lain. kemudian mereka semua (orang berpuasa) dakan diampunkan sehingga ke akhir malam” Ditanya kepada baginda SAW, “Wahai Rasulullah apakah ia malam Lailatulqadar?” Jawab baginda, “Tidak, tetapi orang yang beramal akan diberi ganjaran jika laksanakan amalannya”.

– Diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnad.

Berdasar hadis diatas, terdapat pelbagai keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Khususnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini dan antara keistimewaan tersebut adalah seperti berikut:


1) Mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT dari bau kasturi. Perkataan khuluf bermaksud perubahan bau mulut apabila perut kosong. Baunya memang busuk pada orang ramai tetapi di sisi Allah sangat harum kerana ia adalah hasil dari melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Setiap perkara yang terhasil dari ibadah kepada Allah akan sangat disukaiNya. Seperti orang yang mati syahid. Dia dikebumikan dengan kesan darah kerana pada hari kiamat, darah itu akan mengalir dan baunya harum sebagai bukti kesyahidannya mempertahankan agama Allah. Dalam ibadah haji pula, Allah SWT berbangga dengan jemaah haji meskipun tubuh mereka kotor berdebu lalu Allah berfirman (Hadis Qudsi) maksudnya: “Lihatlah hamba-hambaKu, mereka datang kepadaKu dalam keadaan berdebu”.

Riwayat Imam Ahmad bin Hambal dan Ibnu Hibban didalam kitab Sahihnya.



2) Para malaikat memohon keampunan untuk mereka hingga waktu berbuka puasa. Pastinya doa para malaikat akan diperkenankan Allah kerana mereka tidak pernah membuat maksiat malah mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Mereka diberikan tugas mendoakan kaum muslimin yang terdiri dari kalangan umat yang sedang berpuasa sebagai tanda keistimewaan kedudukan umat Nabi Muhammad SAW.



3) Allah SWT sentiasa menghiasi syurga setiap hari sebagai persiapan menyambut kehadiran orang yang berpuasa dan sebagai galakan agar mereka berusaha menambahkan amal ibadat di bulan ini. Mereka juga akan dilepaskan dari beban dan kesusahan di dunia seterusnya mudah melaksanakan segala macam ibadah.



4) Syaitan digari dengan rantai menyebabkan mereka tidak boleh mengganggu orang-orang yang soleh. Ini merupakan bantuan dari Allah kepada mereka dimana Dia mengurung musuh umat manusia yang mengajak mereka ke lembah neraka. Jesteru ketika datangnya Ramadhan akan timbullah keinginan beribadat yang tinggi.



5) Allah SWT mengampuni dosa orang yang berpuasa pada setiap hujung malam di bulan ini. Sekiranya mereka bangun mengerjakan ibadah, bertaubah, bermunajat kepadaNya serta melaksanakan ibadah puasa di siang hari dengan penuh kekhusyukan.

Demikianlah ganjaran dan keistimewaan menanti mereka yang benar-benar menghayati amal ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh kegembiraan.

Inilah kelebihan yang dijanjikan kepada umat zaman ini, yang tiada pada umat yang terdahulu.

Wallahu'alam


Baca seterusnya...
Related Posts with Thumbnails